Friday, November 5, 2010

sebuah cerrpen :: Gelang Zamrud


Marni menyanyi kecil sambil menumis lauk di depannya. 
Hari ni dia akan masak "kari kapitan kepala ikan 
merah" kesukaan suaminya. Setelah dua minggu berada di 
Penang menguruskan perniagaannya yang dikongsi 
bersama tiga orang rakannya, malam ini Hazif suaminya 
yang tercinta akan pulang. 

Sengaja Marni mengambil cuti kerja setengah-hari, hari 
ini.Anak-anaknya, Seri dan Nabil siang-siang sudah 
dijemput dari rumah ibunya. Dia mahu buat 
persiapan yang sebaik mungkin untuk Hazif, lelaki yang 
sudah menjadi suaminya hampir tujuh tahun itu, malah 
tiga hari lagi, genaplah tujuh tahun usia perkahwinan 
mereka. Alhamdullilah, walaupun perkahwinannya 
dengan Hazif mendapat tentangan hebat dari ayahnya 
pada mulanya, ternyata Marni tidak salah pilih. Ini 
semua berpunca dari sikap angkuh ayahnya yang 
sukar menerima hakikat bahawa Marni, anaknya yang 
berkelulusan universiti, jatuh hati dengan Hazif, yang 
pada ketika itu hanya seorang kerani biasa 
berkelulusan sekolah menengah. Marni faham, bukan 
ayahnya sengaja mahu menentang. Orang tua itu bimbang 
Hazif tidak akan dapat membahagiakan Marni, anaknya 
yang cuma seorang itu, dengan gaji Hazif sebagai 
kerani. Tetapi Marni sudah nekad. Dia tahu Hazif bukan 
pemuda sebarangan. Dia punya cita-cita dan matlamat 
hidup yang tinggi. Buktinya, Hazif sanggup 
menghadiri kelas malam untuk mengambil Diploma. Dan 
yang paling penting,Hazif menyintainya sepenuh hati. 

Perlahan Marni mula memujuk ayahnya. Ternyata ayahnya 
mengalah juga akhirnya. Dan dengan restu orang-tuanya, 
Marni diijab kabulkan dengan Hazif dalam majlis yang 
penuh ceria. 

"Assalamualaikum......", kedengaran suara memberi 
salam. Marni tersentak. 
"Abang!Walaikumsalam...", senyumnya melebar melihat 
Hazif di belakangnya.Tangan suaminya dicium dengan 
penuh kasih sayang. Sebuah ciuman singgah di 
dahi Marni. 

"Terperanjat Mar!Bila abang masuk? Mar tak dengar 
bunyi pintu dibuka pun?" 

"Saje aje. Nak suprisekan Mar!", Hazif membelai lembut 
rambut isterinya. Bau wangi singgah dihidung Marni. 
Rasanya baunya lain benar dengan minyak 
wangi yang selalu di pakai Hazif. Mungkin Hazif beli 
"perfume" yang baru dari Penang, fikir Marni. 
"Eh! Kata abang berangkat pagi ni, takkan baru pukul 
tiga abang dah sampai JB? Abang naik apa?" 

"By air...", ringkas jawapan Hazif. 

"Habis kereta abang?" 
"Pada Salleh...", jawab Hazif. 

"Oh patutlah..", Marni hanya menganggukkan kepala. Dia 
kenal benar pada Salleh, salah seorang rakan kongsi 
suaminya. Masa bertolak kelmarin pun, Salleh menumpang 
kereta Hazif. Sementara Amran, rakan kongsi suaminya 
yang satu lagi itu, menumpangkan Mizi, rakan kongsi 
mereka yang ke empat. 

"Hah!Amran tak ikut abang balik ke? Selalunya kalau 
balik outstation, dia balik sini. Cari makan 
dulu....", tanya Marni. Dia sememangnya sudah masak 
dengan perangai Amran, rakan baik suaminya itu yang 
masih membujang. 

"Nanti dia datang.......", ujar Hazif. 

"Mana budak-budak Mar...?", tanya Hazif. 
"Ada dalam bilik..tidur. Kepenatanlah tu....main 
basikal satu pagi." 

"Basikal?", tanya Hazif. 

"Hah ah. Ayah belikan mereka basikal baru. Tu yang 
sibuk main tu..", jawab Marni sambil meletakkan milo 
ais kegemaran Hazif didepannya. 

"Abang laparlah..belum makan. Mar masak apa?" 
"Ah.... Mar masak lauk favourite abanglah...", 
senyuman Marni melerek. 
"Kari Kapitan?", teka Hazif. 
" Apa lagi......" 
"Bagus jugak tu...Mar siapkan makan. Abang nak tengok 
budak-budak tu sekejap. Rindu benar abang dengan dia 
orang...." 

"Habis dengan mamanya tak rindu ke?", usik Marni. 

"Tersangatlah rindu.....", jawab Hazif lalu mengucap 
dahi isterinya lagi. 
Marni tersenyum melihat Hazif berlalu. Kasih-sayang 
yang sememangnya sudah berbunga di hatinya semakin 
mekar. Beruntung rasanya bersuamikan Hazif yang 
penyayang. 

Hazif terlebih bersyukur mempunyai isteri yang bukan 
sahaja cantik tetapi pandai menjaga harga diri sebagai 
seorang isteri. Apatah lagi di saat ini 
mereka telah di kurniakan dua orang cahaya mata yang 
cerdik dan comel. 
Hazif merenung kedua-dua anaknya yang sedang nyenyak 
tidur. Di kucupnya pipi mereka bergantiannya. 
Airmatanya tiba-tiba mengalir. Apalah yang akan 
jadi pada mereka sekiranya sesuatu terjadi kepadanya? 
Itulah yang selalu Hazif fikirkan. Dia tahu, Marni 
seorang wanita yang cekal hatinya. 
Apa pun rintangan pasti Marni dapat mengatasinya. 
Namun, nalurinya sebagai seorang suami dan ayah yang 
bertanggung-jawab menjuruskan fikirannya ke arah 
persoalan yang sedemikian. 

Marni masuk ke bilik anak-anaknya perlahan-lahan. 
Sempat dia melihat Hazif menyeka airmata. Marni 
hairan. Tidak pernah selama ini dia melihat 
Hazif menangis selain selepas waktu mereka sudah siap 
diijab kabulkan dulu. 
Itupun kerana kesyukurannya yang tidak terhingga 
kerana berjaya juga menikahi Marni walaupun mendapat 
tentangan hebat dari ayah Marni. 
"Bang... kenapa ni...?" 

Hazif mengangkat muka, memandang Marni. 
"Mar...kalau apa-apa jadi pada abang, Mar jagalah 
anak-anak kita baik-baik. Pastikanlah mereka mendapat 
ajaran agama yang secukupnya...", ujar Hazif, 
lembut. 

"Eh....apa abang merepek ni..sudah..mari kita makan. 
Mar dah siapkan tu..." 

"Mar janji dengan abang dulu....", rayu Hazif. 

Marni merenung wajah suaminya. Apa pula yang tidak 
kena dengan Hazif hari ini. Tidak pernah seingatnya 
Hazif berangai pelik seperti ini. 

"Yalah...Mar janji..", akhirnya Marni bersuara, tidak 
mahu memanjangkan teka-teki ini lagi. 
"Mar...abang ada belikan Mar sesuatu....", ujar Hazif 
sambil menyeluk pokek seluarnya. 

"Eh......gelang zamrud....", senyum Marni tatkala 
melihat seutas gelang tangan zamrud yang berkilauan. 

"Mar ingatkan gelang ni tak?". Gembira benar hati 
Hazif melihat keriangan di wajah Marni. 
"Ingat?", Marni mengerutkan dahi. Sebentar kemudian 
dia mengeleng. Memang dia tidak ingat langsung pada 
gelang itu. 

"Masa kita pergi honeymoon di Penang dulu. Dekat kedai 
mas di Komtar? Mar suka sangat tengok gelang tu. Masa 
tu, abang tak ada duit nak belikan Mar. 
Tapi abang janji pada diri abang, satu hari, abang 
akan belikan juga gelang tu untuk Mar. Kebetulan 
kelmarin, masa jalan dengan Amran, abang 
terpandang gelang tu. Tulah yang abang beli..." 

Terpegun Marni mendengar cerita Hazif. Sungguh tidak 
disangka,setelah sekian lama, Hazif masih ingatkan 
gelang zamrud itu sedangkan dia sendiri 
tidak pernah mengingati gelang itu apatah lagi 
berangan untuk memilikinya. 
Kasih-sayang Hazif selama ini sudah cukup buatnya. 

"Terima kasih bang....", Marni memeluk suaminya. 

"Happy seventh anniversary sayang....I love you...", 
bisik Hazif ke telinga Marni. 

"I love you too..", balas Marni. Air jernih mula 
tergenang di anak matanya. 
Dalam kesyaduan itu, kedengaran bell pintu dipicit orang. 
"Amran agaknya tu....", bisik Hazif. 

"Tak pa. Biar Mar yang buka pintu...", Marni bangun 
melepaskan pelukannya. 

"Mar....",Hazif menyambar tangan Marni. 

"I love you...very very much.....", Hazif mengucup 
tangan Marni, penuh kasih. 

"Me too..," jawab Marni pendek. Gelang zamrud 
dimasukkan ke poket bajunya. 

Sebaiknya pintu terbuka, menyongol wajah Amran dengan 
rambut yang kusut masai. 

"Hai..Am. Apa kena dengan kamu? Selalunya "smart" 
memanjang. Hari ni lain macam aje?", usik Marni. 

Amran hanya terseyum tawar. Dia masuk tanpa dijemput 
dan melebuhkan punggungnya di sofa. 

"Mar...can you please sit down..", pinta Amran. 

Marni mengerut dahi. Apa kena dengan si Amran ni agaknya?, detik hatinya. 

"Please...I have something very important to tell 
you...", pinta Amran lagi. 

Marni semakin hairan. Tetapi dia duduk juga seperti 
mana yang dipinta. Amran menunduk. Tidak tahu 
begaimana untuk memulakan perbualannya. 
"Mar...apa pun yang Am nak sampaikan ni, Am nak Mar 
sabar dan bertawakal. 
Terimalah dengan hati yang tenang...", perlahan ayat 
yang keluar dari mulut Amran. 

"Apa yang you merepek ni Am?". Teka-teki terus bermain 
di benak Marni. 
"Mar.......Hazif....Hazif kemalangan. Dia tak dapat di 
selamatkan Mar...", 
tersekat-sekat kekata itu keluar dari mulut Amran. 

Marni tertawa kecil. Sandiwara apa pulak yang Amran 
lakunkan? Hazifkan ada di rumahnya tika dan saat ini. 

"Apa ni Am...kalau nak bergurau pun biarlah 
bertempat...", balas Marni. 

"I'm serious Mar.....Am yang saksikan sendiri.." 

Marni terpegun. Mana mungkin Amran berkata benar 
sedangkan suaminya yang tercinta berada di rumahnya. 
Di bilik anak-anaknya. 

"Am.....apa yang Am cakap ni...Hazifkan dah balik. Dia ada dekat bilik anak I. I baru berbual dengan dia..." 

"Apa? Hazif dah balik?", terbeliak mata Amran. Sungguh 
dia tidak berbohong. Dia sendiri yang memangku kepala 
Hazif di saat kawan baiknya itu menghembuskannya nafas 
yang terakhir. Malah, dia sendiri melihat bagaimana 
Hazif disambar lori tanah ketika melintas jalan menuju 
ke keretanya di perhentian Macap tadi. Dan setelah 
jenazah Hazif dibawa ke hospital dengan diikuti Salleh 
dan Mizi, dia terus memecut menuju ke Johor 
Baru untuk ke rumah Hazif. Dia mahu menyampaikan 
berita buruk ini pada Marni sendiri. Dia tahu betapa 
wanita ini menyintai suaminya. 

Tadipun sebelum masuk ke rumah ini, dia telah 
menelefon Salleh untuk memastikan segala urusan 
membawa jenazah Hazif pulang berjalan dengan lancar. 
Mana mungkin Hazif pulang ke rumah? 

"Am...you dengar tak apa Mar cakap? Hazif dah 
balik...", Marni mengejutkan Amran dari khayalannya. 

"Mar...Am tak tahu apa nak cakap. Tapi percayalah, Am 
sendiri yang melihat kejadian itu. Hazif meninggal di 
pangkuan Am Mar..." 

"Bohong...Hazif dah balik...Nanti biar Mar panggil 
dia....", Marni semakin binggung. Apa tujuan Amran 
menceritakan yang bukan-bukan padanya? 
Pantas dia menjenguk ke bilik anak-anaknya. Hazif 
tiada disitu. Ah! Tentu Hazif di bilik mereka. Dia 
menjenguk ke situ juga memanggil nama Hazif. 
Tiada jawapan. Dia berlari ke dapur pula. Mana tahu 
Hazif mungkin ke sana. 
Tiada juga. Akhirnya setelah penat mencari, Marni 
terduduk di ruang makan. 

Di samping makanan yang belum terjamah. Mulutnya di 
tangkup dengan tangan kanannya. Apakah benar yang 
Amran sampaikan? Mimpikah dia? 

Amran hanya memerhati gerak-geri Marni. Sungguh kesian 
benar dia melihat Marni ber lari ke sana-sini mencari 
Hazif yang dikatakan sudah pulang. 

"Mar...arwahnya suruh Am sampaikan sesuatu...", Amran 
menghulurkan kotak berwarna merah. Marni hanya mampu 
memandang tanpa suara. Dia masih binggung. Namun kotak 
yang dihulurkan Amran disambut juga. Perlahan 
dia membuka kotak itu. Didalamnya terdapat sepasang 
subang zamrud. 

Terlopong mulut Marni. 

"Rasanya ada barang yang hilang dari kotak tu. 
Kelmarin masa arwah beli, Am pasti benar ada seutas 
gelang zamrud bersama subang tu...tapi puas Am 
cari, tak jumpa juga", sedih suara yang keluar dari 
mulur Amran. 

Marni memandang Amran. Terkedu. Air jernih sudah deras 
dipipinya. Baru dia teringat akan gelang zamrud 
pemberian Hazif. Dikeluarkan gelang itu dari poket 
bajunya. 

"Ini ke Am?", tanyanya perlahan. 

Amran tersentak. Benar! Itulah yang dilihatnya dibeli 
Hazif malam kelmarin. Saat itu tidak putus-putus Hazif 
menyatakan kegembiraannya dapat membelikan gelang itu 
untuk Marni. Tapi macam mana pula benda itu boleh 
berada pada tangan Marni? Apakah benar cakap-cakap 
Marni bahawa Hazif sendiri yang pulang menghadiahkan 
gelang itu kepada Marni? Kalau benar, bagaimana? Yang 
nyata di bumi Allah ini tiada yang mustahil dengan 
izinNya. 

Marni hanya mampu menangis. Dia memandang 
"kari-kapitan' yang belum tersentuh dan milo ais yang 
belum terjamah. Hidangan yang sepatutnya menyambut 
kepulangan suaminya, terbiar begitu sahaja. Rasanya 
saat ini seleranya juga sudah tertutup habis. Kalau 
benar Hazif sudah pergi sebagaimana kata Amran, siapa 
pula yang datang menghadiahkan gelang zamrud 
ini padanya? Sungguh sukar untuk Marni menerima 
kenyataan ini. 

Dan ketika ruang rumahnya di penuhi dengan bacaan 
surah Yassin, 
Marni masih mengharap akan kepulangan Hazif, sambil 
memeluk kedua anaknya yang masih terlalu kecil untuk 
memahami segalanya. Hanya apabila jenazah Hazif 
tiba di rumah, barulah Marni yakin bahawa suaminya 
sudah pergi untuk selamanya. Yang tinggal kini hanya 
seutas gelang zamrud yang menjadi saksi segalanya.

dicopy n pastekan...

0 comments: