Thursday, January 7, 2010

PERANAN PETUGAS

Wahai saudara yang budiman!

Keimanan anda terhadap akad setia ini mewajibkan untuk melaksanakan kewajipan berikut sehingga ia menjadi batu bata yang kukuh untuk binaan.

  • Anda hendaklah memiliki wirid harian, iaitu al-Quran tidak kurang daripada satu juzuk. cubalah untuk mengkhatamkannya dalam jangkamasa tidak lebih daripada satu bulan dan tidak kurang daripada tiga hari.
  • Perelokkanlah bacaan al-Quran, mendengarnya, dan mentadabbur makna-maknanya. Belajarlah sejarah generasi silam sekadar kecukupan waktu yang ada. Perbanyakkan membaca hadis Rasulullah s.a.w. Hendaklah anda menghafal 40 hadis sekurang-kurangnya, sebaiknya kitab hadis empat puluh Imam al-Nawawi. Pelajarilah buku-buku tentang asas aqidah dan cabang ilmu feqh.
  • Segera membuat pemeriksaan kesihatan umum dan mengambil rawatan apa jua penyakit yang anda hidapi. Mengambil berat tentang faktor-faktor kekuatan diri, penjagaan jasmani, dan menjauhi segala perkara yang boleh melemahkan badan.
  • Jauhi berlebih-lebihan meminum kopi, teh dan seumpamanya, segala minuman yang boleh merangsang. Janganlah anda meminumnya melainkan jika terdesak. Tegahlah diri sama sekali daripada merokok.
  • Menjaga kebersihan rumah, pakaian, tempat makan, badan dan juga tempat kerja. Sesungguhnya Agama ini dibina atas asas kebersihan.
  • Bercakap benar dan jangan sekali-kali kamu brerdusta.
  • Hendaklah menepati janji dan kata-kata serta janganlah anda memungkirinya walau bagaimana keadaan sekalipun.
  • Hendaklah menjadi seorang yang berani dan cekal. Keberanian yang paling mulia ialah berterus terang pada kebenaran, menjaga rahsia, mengakui kesilapan, bersikap adil pada diri sendiri dan menguasai diri ketika marah.
  • Sentiasa bersikap serius dan bersungguh-sungguh. Sikap serius ini tidak mengahalang untuk bergurau senda yang benar dan gelak ketawa.
  • Anda hendaklah menjadi seorang yang bersikap pemalu dan berjiwa halus, sensitif dengan kebaikan dan keburukan. Merasa gembira dengan kebaikan dan menderita dengan perkara keji. Menjadi seorang yang bertawadhuk tetapi tidak mencapai tahap menghina diri berlebih-lebihan dan mengampu. Jika perkara yang anda minta itu lebih rendah daripada kedudukan anda, pasti ia dapat dicapai.
  • Hendaklah anda menjadi seorang yang adil, menghukum dengan cara yang sebenar pada semua perkara. Janganlah kemarahan anda menyebabkan anda melupakan segala kebaikan, dan janganlah kerelaan anda menyebabkan anda melupakan kesalahan. Permusuhan tidak membuatkan kamu lupa kepada kebaikan. Berkata benarlah walaupun terhadap diri dan orang yang paling hampir, sekalipun pahit.
  • Hendaklah mempunyai kecergasan yang maksimum, berlatih untuk khidmat awam. Anda perlu merasa bahagia apabila mampu untuk menghulurkan khidmat kepada orang lain di kalangan manusia. Menziarahi orang sakit, membantu orang yang memerlukan, membantu orang yang lemah, mengasihani orang yang ditimpa bencana sekalipun dengan mengucapkan kalimah yang baik dan sentiasa bersegera untuk melakukan kebaikan.
  • Berjiwa penyayang, sentiasa bertolak ansur, memberi maaf, berlemah lembut, kasihan belas terhadap manusia dan haiwan, interaksi yang lunak, tingkah laku yang baik sesama manusia, menjaga adab-adab Islam dalam kemasyarakatan, mengasihi kanak-kanak dan menghormati orang tua, memberi ruang di dalam majlis, jangan mengintip dan tidak mengumpat serta meninggikan suara, meminta izin untuk keluar dan masuk dan sebagainya.
  • Memperelokkan bacaan dan tulisan, banyak mengkaji risalah jemaah, akhbar dan majalah. Anda hendaklah memiliki pustaka peribadi sama ada kecil mahupun besar. Meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran sekiranya anda mempunyai kepakaran. Memberi perhatian terhadap hal ehwal Islam umum sehingga anda boleh memberikan tanggapan dan membuat keputusan terhadapnya yang sejajar dengan tuntutan fikrah anda.
  • Melaksanakan kerja-kerja yang memberi sumbangan ekonomi sekalipun anda seorang yang kaya, menyumbang kepada kerja-kerja sukarela, sekalipun remeh serta memberi penumpuan dalam melaksanakannya, walau setinggi manapun pencapaian akademik anda.
  • Bersungguhlah untuk melaksanakan tugas anda dengan tekun, teliti, tidak menipu dan menepati masa.
  • Menuntut hak dengan baik, menunaikan hak manusia dengan seluruhnya tanpa terkurang dan tidak perlu menunggu sehingga dituntut dan tidak tertangguh.
  • Jauhi segala jenis judi, walau apa tujuan sekalipun di sebaliknya. Jauhilah sumber rezeki yang haram, walau bagaimana sekalipun habuan segera yang diperolehi daripadanya.